Isnin, 14 Oktober 2013

Selamat Menyambut Raya Haji

 
Assalamualaikum....
Dengan kesempatan ini saya ingin mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT RAYA HAJI  .Semoga raya haji kali ini akan menjadi raya haji yang paling meriah bagi korang semua.....Tahu x kenapa raya haji wujud

Kisah 1: KISAH KORBAN ANAK-ANAK NABI ADAM


Al_Quran menceritakan kisah Nabi Adam dalam beberapa surah di antaranya surah Al_Baqarah ayat 30 sehingga ayat 38 dan surah Al_A’raaf ayat 11 sehingga 25.

Firman Allah SWT.: “Kami berfirman: Turunlah kamu dari syurga itu. Kemudian jika datang petunjuk-Ku kepadamu, maka barangsiapa yang mengikuti petunjuk-Ku, nescaya tidak ada kekhuatiran atas mereka, dan tidak (pula) mereka bersedih hati.”
(Al-Baqarah: 38)

Ditakdirkan Allah SWT, setelah menerima taubat dan sebagai hukuman, Nabi Adam diturunkan ke bumi dari syurga kerana melanggar perintah Allah dengan mendengar pujukan Hawa (yang telah dihasut iblis selepas gagal menghasut Nabi Adam) dengan mendekati serta memakan buah dari pohon Khuldi, maka tinggallah Adam dan Hawa dibumi. Diceritakan Adam diturunkan di Bukit Safa dan Hawa di Bukit Marwah (kedua-dua bukit adalah di Mekah) namun diketemukan jua oleh Allah SWT akhirnya.

Maka hiduplah Adam dan Hawa sebagai manusia biasa di bumi Allah sehinggalah dikurniakan beberapa orang anak. Salah satunya adalah dua pasang kembar (lelaki & perempuan) iaitu Qabil dan Iqlima serta Habil dan Lubuda. Di bawah naungan ayah ibunya yang penuh cinta dan kasih sayang maka membesarlah keempat-empat anak itu sehingga menginjak masa remaja. Yang perempuan sesuai dengan kudrat dan fitrahnya menolong ibunya mengurus rumahtangga dan mengurus hal-hal yang menjadi tugas wanita, sedang yang laki-laki menempuhi jalannya sendiri mencari nafkah untuk memenuhi keperluan hidupnya. Qabil berusaha dalam bidang pertanian sedangkan Habil di bidang perternakan. Apabila sudah remaja, secara fitrahnya mereka ingin berkahwin bagi menuntut kehidupan yang lebih lengkap.

Diriwayatkan Qabil ini adalah seorang yang busuk hatinya, sentiasa tidak berpuas hati akan perintah bapanya. Sedang Habil adalah seorang yang mulia serta anak yang soleh. Diceritakan lagi Qabil ini mempunyai kembar yang jelita manakala Habil, kembarnya hodoh. Setelah diilhamkan Allah kepada Adam akan pernikahan Qabil dan Habil mestilah dengan pasangan kembar yang bukan satu kelahiran, Qabil masih lagi tidak berpuas hati dengan menolak perintah bapanya. Ini menyebabkan Qabil ingkar dengan tetap mahu berkahwin dengan kembar satu kelahirannya iaitu Iqlima. Oleh kerana itu Nabi Adam as. memberi peluang akan keinginan anaknya itu dengan cara menguji keikhlasan mereka. Maka Nabi Adam as. memerintahkan mereka mempersembahkan korban kepada Allah SWT. Bagi sesiapa yang korbannya diterima Allah, maka dialah yang layak berkahwin dengan Iqlima. Setelah itu, mereka berkorbanlah dengan mempersembahkan hasil tulang empat kerat mereka, iaitu Qabil dengan hasil tanamannya serta Habil dengan hasil ternakannya. Namun, Qabil yang sentiasa tamak, tidak berpuas hati walaupun telah diberi peluang mengikuti kehendak hatinya, telah mempersembahkan setompok sayur-sayuran yang busuk. Manakala Habil yang orangnya soleh dan ikhlas, telah menyerah seekor kambing betina yang gemuk dan sihat.

Setelah itu, sesetengah pendapat menyatakan terdapat jalur keputusan dari langit, ada sesetengahnya menyatakan datang api dari langit serta menyambar korban Habil menandakan Allah telah menerima korban Habil dan menolak korban Qabil. Melihat itu, Qabil menjadi sangat marah serta berkata kepada Habil "Aku mesti membunuh kamu!" supaya Habil tidak dapat mengahwini Iqlima. Habil menjawab " Sesungguhnya Allah hanya menerima korban dari orang yang bertaqwa."

Al-Quran ada mengisahkan cerita kedua putera Nabi Adam ini dalam surah"Al- Maaidah" ayat 27 sehingga ayat 32 .

Dipendekkan cerita, setelah sepermergian Nabi Adam as. meninggalkan rumah, Qabil pergi mencari Habil di tempat perternakkannya untuk membunuhnya. Apabila berjumpa, berkata ia kepada Habil:"Aku datang ke mari untuk membunuhmu. Masanya telah tiba untuk aku lenyapkan engkau dari atas bumi ini."

"Apa salahku?"tanya Habil. "Dengan asalan apakah engkau hendak membunuhku?"
Qabil berkata:"Ialah kerana korbanmu diterima oleh Allah sedangkan korbanku ditolak yang bererti bahawa engkau akan mengahwini adikku Iqlima yang cantik itu dan aku harus mengahwini adikmu yang buruk dan tidak mempunyai gaya yang menarik itu."
Habil berkata:"Adakah berdosa aku bahawa Allah telah menerima korbanku dan menolak korbanmu?Tidakkah engkau telah bersetuju cara penyelesaian yang diusulkan oleh ayah sebagaimana telah kami laksanakan?Janganlah tergesa-gesa wahai saudaraku, mempertaruhkan hawa nafsu dan ajakan syaitan! Kawallah perasaanmu dan fikirlah masak- masak akan akibat perbuatanmu kelak! Ketahuilah bahawa Allah hanya menerima korban dari orang-orang yang bertakwa yang menyerahkan dengan tulus ikhlas dari hati yang suci dan niat yang murni. Adakah mungkin sesekali bahawa korban yang engkau serahkan itu engkau pilihkannya dari gandummu yang telah rosak dan busuk dan engkau berikan secara terpaksa bertentangan dengan kehendak hatimu, sehingga ditolak oleh Allah, berlainan dengan kambing yang aku serahkan sebagai korban yang sengaja aku pilihkan dari perternakanku yang paling sihat dan kucintai dan ku serahkannya dengan tulus ikhlas disertai permohonan diterimanya oleh Allah. Renungkanlah, wahai saudaraku kata-kataku ini dan buangkanlah niat jahatmu yang telah dibisikkan kepadamu oleh iblis itu, musuh yang telah menyebabkan turunnya ayah dan ibu dari syurga dan ketahuilah bahawa jika engkau tetap berkeras kepala hendak membunuhku, tidaklah akan aku angkat tanganku untuk membalasmu kerana aku takut kepada Allah dan tidak akan melakukan sesuatu yang tidak diredhainya. Aku hanya berserah diri kepada-Nya dan kepada apa yang akan ditakdirkan bagi diriku."

Namun nasihat adiknya Habil tidak diendahkan akibat daripada hasutan iblis dengan rasa dendam dan dengki yang dalam, dibunuhnya juga Habil itu. Dibantu pula oleh iblis dengan menjelma seekor burung yang dipukul kepalanya dengan batu sampai mati. Contoh yang diberikan oleh iblis itu menyebabkan Qabil meniru cara pembunuhan untuk membunuh Habil. Diambil batu lalu memukul kepala Habil sehingga mati. Setelah mati, Qabil kebingungan sekali lagi kerana tidak tahu bagaimana untuk mengebumikan jenazah adiknya. Namun Allah SWT Yang Maha Pengasih lagi Maha Bijaksana, tidak rela melihat mayat hamba-Nya yang soleh dan tidak berdosa itu tersia-sia demikian rupa, maka dipertunjukkanlah kepada Qabil, bagaimana seekor burung gagak menggali tanah dengan kaki dan paruhnya, lalu menyodokkan gagak lain yang sudah mati dalam pertarungan, ke dalam lubang yang telah digalinya, dan menutupi kembali dengan tanah. Melihat contoh dan pengajaran yang diberikan oleh burung gagak itu, termenunglah Qabil sejenak lalu berkata pada dirinya sendiri:"Alangkah bodohnya aku, tidakkah aku dapat berbuat seperti burung gagak itu dan mengikuti caranya menguburkan mayat saudaraku ini?". Maka Qabil mengebumikan jenazah Habil dengan cara yang sama dengan burung tersebut.

Namun Allah itu Maha Adil lagi Bijaksana, sesetengah pendapat menceritakan bahawa Qabil telah mendapat hukuman pada hari yang sama dia membunuh saudaranya Habil dengan kaki-kakinya terangkat sampai ke tulang paha dan wajahnya dipaksa terarah kepada matahari.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan